Khadam Nabawi

Khadam Nabawi

Dec 17, 2009

Siapa Kami?


Syukur ke hadrat Ilahi kami berukun dengan lima perkara dan beriman dengan enam perkara –ad-din kami Islam.Kami telah dikurniakan dengan nikmat yang paling besar, iaitu dijadikan sebagai orang Islam, sama ada melalui kelahiran daripada ibu-bapa orang Islam ataupun memeluki agama Islam setelah diberi hidayat oleh Allah.Aqidah kami berasaskan kepada Ahl-Sunnah wal Jemaah. Mazhab kami berbeza, ada yang Shafi’i, ada yang Hanbali, ada yang Maliki dan ada yang Hanafi. Kami tidak berpegang kepada fahaman Maqam Tujuh ataupun pemikiran Wahdatul Wujud. Prinsip perjalanan kami ialah:

Ilahi Anta Maqsudi, Wa Ridhaka Matlubi, La Ma’abuda Ill’allah, La Maqsuda Ill’allah, La Mawjuda Ill’allah
(Ya Allah, Engkaulah tujuanku, Dan aku mencari keredhaanMu, Tiada lain yang harus di sembah melainkan Engkau, Tiada destinasi melainkan Engkau, Tiada kewujudan melainkan melalui Engkau)

Latar belakang kami berbeza-beza – ada di antara kami pelajar, guru, peguam, doktor, petani, saudagar, jurutera, artist, pelakon, putera, puteri, buruh, saintist, ulama, ada yang kaya, ada yang miskin, tua, muda,lelaki, perempuan – pendek kata kami mewakili masyarakat umum. Di antara kami di Malaysia, ada yang berketurunan Melayu, Cina, India, Arab, Inggeris dan sebagainya.  Nyata, latar belakang luaran kami hanyalah merupakan salah satu daripada jutaan kurniaan yang Allah telah beri, dan kami bersyukur ke atasnya.  Yang penting sekali ialah kami semua sedang berusaha untuk menyinarkan diri dalaman kami, menyinarkan qalb .Dengan hati dan jiwa yang bercahaya, maka akan membuat kami lebih bersyukur.Ia juga akan memberi keinsafan kepada kami terhadap semua kesalahan yang telah kami lakukan terhadap Allah dan makhluk Nya, sama ada kami lakukan dengan sengaja atau tidak sengaja. Untuk mendapat sinaran dalaman tersebut, kami mengambil perjalanan tasawuf kami memasuki tariqat Naqshbandi. Melalui perjalanan ini, kami berpegang teguh dengan syariat Allah dan memuliakan sunnah Sayyidina Muhammad (saw) dengan penuh takzim. Kami bertariqat untuk melatihkan diri kami supaya berakhlak mulia, berhemah tinggi, berhikmah, dan mencucikan sifat-sifat yang buruk di dalam diri kami.Tariqat Naqshbandi tidak ada lain matlamat melainkan untuk mendapatkan keredhaan Allah dan untuk menewaskan nafsu yang liar di dalam diri kami – nafsu ammara yang membara seperti api yang tak terkawal, nafsu yang akan membinasakan segala amalan yang dikerjakan sekiranya ia tidak di tawan. Kami pencinta Allah, pencinta Sayyidina Muhammad (saw), pencinta orang salih, dan pencinta wali-wali Allah.  Kami menyahut suruhan Allah yang berbunyi, “Wattabi ‘sabiila man ‘anaaba ‘illayy (Surah Luqman:15).Maksudnya, “Ikutlah jalan seseorang yang telah menoleh wajahnya kepada Ku dengan taubah/cinta.” Kami memohon kepada Allah SWT untuk menerima niat-niat suci daripada kami yang dhaif.

Pautan Zawiyah Johor Bahru

No comments:

Post a Comment