Khadam Nabawi

Khadam Nabawi

Jan 3, 2010

Destur Ya Saiyyidi


Audhu bi-llahu mina syaitanir rajim.
Inna li-llah wa inna ilayhi rajiun, fa-l hukmu li-llahi ‘Aliyu-l Kabir.

Dunia ini sedang mendekati akhir hayatnya. Keadaan sekarang tidak tenteram kerana semua benda dan perkara yang ada sekarang mesti dilenyapkan, mesti fana di dalam kebesaran Allah. Di waktu itu, Allah akan mengarah malaikat Israfil untuk meniup trompetnya.
Pada waktu ini, seorang hamba Allah cuba berjumpa maulana, lalu menggangu sohbet beliau. Maka maulana berkata: Syaitan sentiasa bersedia untuk membuat kacau di mana-mana sahaja dan mempunyai begitu ramai sekali agen-agennya. Tak terbilang penyokong-penyokong syaitan pada waktu sekarang. Syaitan sekarang berpendapat bahawa dia sedang dan boleh menguasai seluruh dunia dan telah sampai kepada kemuncak kekuasaannya. Tetapi saya akan meletakkan syaitan dan penyokong-penyokongnya di bawah kaki saya! Saya akan tunjuk kepada syaitan dan penyokong-penyokongnya bagaimana kuasa seorang hamba Allah. Saya seorang hamba yang paling lemah – anjing di dunia ini. Syaitan ingat dia ada kuasa dan fikir bahawa semua di dunia ini di bawah arahannya. Tidak! Astagfirullah.

(Maulana teruskan sohbetnya) Apabila Israfil meniup trompetnya, semua makhluk (manusia, jin dan malaikat) akan mati, dunia ini akan menjadi kosong selama 40 tahun. Syaitan juga akan mati. Para malaikat pun juga akan mati, rebah dan mati. Selepas 40 tahun Allah akan mengarah Israfil meniup trompetnya sekali lagi. Tiupan kali kedua ini akan membangunkan semula yang telah mati tadi. Semua manusia daripada generasi-generasi yang terdahulu hingga yang terkini akan bangun semula dengan tiupan kedua itu. Waktu itu merupakan tahap kehidupan yang kedua bagi semua. Tiupan trompet yang pertama akan mengambil hayat dan tiupan yang kedua akan memberi hayat semula. Dan kali ini mereka akan hidup buat selama-lamanya. Mereka akan menempuh kehidupan yang berkekalan, iaitu, sama ada Syurga atau Neraka.

Manusia sekarang sedang dalam keadaan mabuk, mereka lalai. Mereka mabuk dengan kecintaan dunia. Matlamat mereka adalah semata-mata untuk dunia. Mereka tidak memperdulikan hal-hal akhirat. Kepercayaan kita berpandukan kepada “ba’thu ba’dal maut” (kebangkitan selapas maut). Tidak siapa pun boleh sampai ke kehidupan yang kekal melainkan dia menempuhi maut dahulu. Tanpa melalui titian maut, tidak siapa pun akan sampai ke kehidupan yang kekal. Dan syaitan sedang berusaha untuk membuat manusia mabuk dan cinta pada dunia, membuat manusia lupakan akhirat Seperti orang yang berjudi, syaitan akan bisik kepada dia, “Jangan hanya bertaruh satu paun, dua paun, sepuluh paun, seratus paun atau satu ribu paun, jangan!..taruhkan semua yang kamu ada. Aku akan jamin kamu akan menang, aku akan menjadi penjamin kamu.” Allah, Allah, penjamin apakah si syaitan ini? Syaitan lagi berkata, “Akulah penjamin. O manusia, tidakkah kamu semua percaya aku? Aku akan melatih dan mengajar kamu semua. Kalau kamu ikut cakap aku, kamu semua boleh dapat apa yang kamu mahu. Aku penjamin kamu.” Inilah keadaan dunia sekarang, semua meletakkan kepercayaan kepada hasutan syaitan.
Sekarang ini orang Cypriot meminta penjamin, orang Arab juga mahukan penjamin. Syaitan menyahut, “Akulah penjamin utamamu, kenapa mesti kamu tanya pada orang lain? Percayalah aku, dan nescaya kamu akan meraih kesenangan.” Kebanyakkan manusia di dunia sekarang tertipu dengan syaitan, mereka mempercayai dengan hasutannya. Mereka telah melabur sepenuhnya di dunia dan tidak berminat langsung tentang akhirat. Apabila seseorang sampai ke akhir nafasnya, dia akan tanya pada syaitan, “Ya Hu, aku dah nak pergi ni, dan aku sangka aku akan dapat sesuatu yang telah kau janjikan, apa ini..mana dia?” Syaitan menjawab, “Jangan risau. Aku penjaminmu. Sekarang kamu di saat akhir hayat di dunia ini dan aku berjanji akan memberi kamu sesuatu. Kamu percaya aku atau tidak?” Si manusia itu berkata, “Ya, saya percaya.” Syaitan sambung, “Sekiranya kamu percaya, sekarang sujud pada aku.” Pada waktu itu, ruh si fulan tersebut di tarik keluar dari jasadnya, dan dia telah meninggalkan dunia ini dengan keadaan menyembah syaitan dan hilang semuanya. Beginilah keadaan manusia secara umumnya sekarang.

Saya bertanya pada kalian, “O manusia, o mukmin! Kalian semua tidak ada masa untuk membuat dua sajdah dalam tempoh 24 jam? Kalian tidak ada masa untuk memberi dua sajdah kepada Allah?” Kalian berkata kami sibuk. Kalian sibuk kerana syaitan telah memberi jaminan kepada kalian dan kalian mempercayai dia. Akhirnya kalian akan semua insaf. Sekiranya seorang membuat dua rakaat setiap hari, pasti dia akan bertaubat. Sesiapa yang sembahyang jumaat ke jumaat, dia akan insaf. Mereka ini harus bertanya pada diri mereka, “Kenapa tidak aku membuat 20 rakaat, kenapa aku tidak membuat perbuatan-perbuatan yang baik untuk Tuhan setiap hari?” Akhirnya semua akan insaf dan bertaubat kerana mereka telah di beri masa dan peluang untuk membuat perkara-perkara yang baik. Oleh sebab kemalasan nafsu dan juga godaan syaitan, mereka telah gagal.
Sesetangah manusia mengikut pandangan para awliya, adalah seperti kafilah. Telah ditulis di dalam kitab-kitab suci melalui ilmu tradisional yang kita warisi daripada para anbiya dan awlia bahawa manusia adalah seperti kafilah. Berikut adalah satu cerita
Terdapat satu kafilah sedang merantau dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Pada waktu malam mereka sampai ke sebuah lembah tanpa sebarang cahaya dan lampu. Tujuan mereka hanyalah untuk bermalam di situ dan keesokan harinya akan menyambung perjalan mereka. Tiba-tiba berkatalah seorang di kalangan mereka, “Wahai manusia, di lembah ini terdapat batu-batu yang sebenarnya berlian! Kutiplah sebanyak mana yang kamu mahu.” Sesetengah daripada mereka menjawab, “Eh, ini semuanya batu, kami tidak akan membuang masa mengutip batu yang tidak bernilai.” Sesetengah pula berkata, “Eh, kami akan kutip sedikit.” Ada yang kutip segenggam sahaja dan ada juga yang kutip untuk memuatkan poket mereka..” Terdapat juga yang percaya dan telah mengutip batu-batu tersebut. Mereka memunggah harta mereka yang ada di dalam guni, dan menggantikannya dengan batu-batu itu dan terus meletakkan ke atas unta mereka. Tanpa menunggu keesokan hari, mereka tiba-tiba diarah untuk bangun untuk meneruskan perjalanan. Di dalam perjalanan pada waktu gelap itu, mereka melalui satu jambatan dan akhirnya sampai ke suatu tempat yang bersinar dengan cahaya matahari. Di waktu siang yang terang benderang, barulah mereka sedar bahawa batu-batu yang mereka kutip pada waktu malam itu sebenarnya adalah berlian yang berharga. Kesal yang amat besar menimpa ke atas mereka yang tidak mengutip dan juga ke atas mereka yang hanya kutip sedikit sahaja. Di sebaliknya pula, kegimbiraan yang amat kepada mereka yang telah mengisikan guni mereka dengan batu-batu tersebut.
Perjalan tersebut hanyalah sehala, tidak boleh patah balik dan hanyalah sekali sahaja. Mustahil untuk patah balik kerana jalan itu sesak dengan kedatangan kafilah-kafilah yang lain. Beginilah gambaran kehidupan manusia – sesiapa yang mempercayai para anbiya, mereka akan mengumpul (mengikut daya usaha mereka) bekalan untuk akhirat. Para anbiya, awliya dan salihin nescaya akan berjaya. Yang lainnya akan mati dan akan dikuburkan. Di dalam kubur mereka akan mendapati bahawa tempatnya kosong – kosong daripada segi kebendaan, tetapi penuh dengan ular, kala jengking, labah-labah yang beracun dan bermacam-macam serangga. Api pula akan membara dari luar dan dalam. Bagi mereka yang telah mengikut perintah Allah, mereka berada di syurga.
Oleh itu, wahai manusia, kutiplah, walaupun sebanyak segenggam. Jangan tinggalkan dunia ini dengan tangan yang kosong tanpa bekalan akhirat. Kegembiraan akan menunggu bagi orang yang berada di saf pertama di akhirat kelak. Mereka yang berada di saf belakang dan seterusnya, kegembiraan mereka akan berkurangan. Maka para anbiya telah berulang kali menasihati ummat mereka untuk mengejar tempat yang pertama di saf yang di depan. Terdapat banyak tempat di saf pertama itu … jangan risau. Tetapi kebanyakkan daripada manusia malas, mereka berkata, “Cukupalah apa yang kami ada, buat apa nak susah payah.” Tetapi nescaya mereka akan menyesal dan insaf pada hari tersebut.

Moga-moga Allah mengampuni dosa saya dan memberi kita pemahaman yang betul supaya kita tidak tertipu di dalam kehidupan dunia yang pendek dan tawar ini. Lihatlah keadaan di merata-rata tempat. Rasulullah (saw) pernah bersabda, “Sekiranya fitnah sampai ke Damsyik, iaitu melalui orang musyrik dan kafir, ketahuilah tidak ada tempat yang selamat lagi di dunia.” Kita sekarang berada pada waktu itu. Orang sekarang mengejar gelaran-gelaran yang tidak berguna. Mereka tidak lagi berkata bahawa kami adalah ummat Rasulullah (saw). Sebaliknya mereka mengelar diri mereka sebagai orang Kurdish, Turki, Arab, Amerika, Iran, Mesir, Libya, Palestin dan sebagainya – mereka tidak berkata, “Kami Ummati Muhammad (saw).” Oleh begitu, masalah bertimbun hari demi hari. Membunuh seorang mukmin, hukumannya ialah api neraka buat selama-lamanya. Atas nama dan gelaran yang tidak berguna, setiap puak melaung, “Kami orang Kurdish, Arab dan sebagainya.” Semuanya ini tidak ada nilai langsung di Hadrat Ilahi. Oleh yang demikian, Allah telah berfirman, “Ya ayyuhal ladhina amanu” dan bukannya “Ya ayyuhal Arab atau Ya ayyuhal atrak.” Tidak! Semuanya ini satu penipuan daripada syaitan. Tetapi insya’allah, syaitan akan berada di bawah kaki saya atas perbuatannya terhadap anak-anak Adam (as). Moga-moga Allah memberi kita lebih kuasa! Saya merupakan hamba yang paling lemah dan mereka yang terkuat berada di Hadrat Ilahi. Memadailah saya sahaja untuk memerangi syaitan di dunia yang kotor ini. Saya memohon supaya Allah mengampuni saya dan memberi bantuan Nya kepada orang mukmin memerangi syaitan dan penyokong-penyokongnya. Semuanya ini untuk menghormati yang paling mulia di Hadrat Ilahi – Sayyidina Muhammad (saw).
Fatihah.